Monday 14 March 2016

Manusia Sebagai Pekerja dan Pelaku Pembangunan di Institusi Pembangunan Islam

Manusia merupakan khalifah di muka bumi dan ia direkodkan di dalam al-Qur’an yang bermaksud:
Maksudnya: ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
(Surah al-Baqarah 2: 30)
Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), manusia sebagai pelaku pembangunan bermaksud manusia merupakan khalifah Allah SWT yang diutus untuk mengimarahkan alam ini. Manusia harus sedar bahawa Allah SWT merupakan pemilik mutlak alam ini dan tugas manusia sebagai seorang khalifah adalah dengan mengimarahkan alam ini. Hal ini bermaksud seseorang manusia itu hendaklah mengimarahkan ataupun memakmurkan setiap sesuatu itu dengan cara Islam termasuklah dengan cara memakmurkan institusi pembangunan Islam. Institusi islam seperti institusi masjid, institusi pendidikan, dan pejabat-pejabat tertentu seharusnya melaksanakan pembangunan dengan cara yang telah dianjurkan Islam.

Manusia sebagai pelaku pembangunan di sesebuah institusi boleh dirujuk sebagai seorang pekerja atau majikan di sesebuah institusi hendaklah amanah dalam menunaikan setiap tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Dengan kata lain seseorang pekerja di sesebuah di intitusi hendaklah menjauhi setiap sifat mazmumah atau sifat tercela ketika melaksanakan kerja dengan cara kuat berusaha, datang awal ketempat kerja, tidak membuang masa, jujur, amanah serta menjadikan setiap kerja sebagai ibadah sesuai dengan peranan seorang hamba yang sebenar.

Para pekerja di sesebuah institusi dewasa ini kebanyakkannya kelihatan sudah lari dari tanggungjawab sebagai seorang khalifah yang sebenar. Dapat kita lihat kebanyakan pekerja di sesebuah syarikat atau institusi termasuklah institusi pembangunan Islam hari ini kurang amanah dalam menjalankan tanggungjawab selaku seorang pekerja. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengamalkan rasuah, suka mencuri tulang, melakukan kerja dengan sambil lewa dan tidak efisien dalam menjalankan tanggungjawab. Hal ini demikian kerana kurangnya perasaan bertuhan lantas mereka melakukan sesuatu kerja itu hanya untuk mendapatkan gaji atau wang ringgit.

Pelaku pembangunan seharusnya sentiasa peka dengan tanggungjawab yang digalas dan hendaklah melakukan sesuatu kerja dan tanggungjawab serta tidak meninggalkan syariat yang dianjurkan agama agar usahanya akan dilimpahi barakah dan diredhai. Selain itu, peranan seseorang pelaku pembangunan tersangatlah penting kerana ia akan memberi kesan yang besar keatas kerja dan institusi tempat kerjanya. Seseorang pelaku pembangunan yang baik akan menjadikan institusi itu berkualiti, dan dapat menghasilkan produk dan keluaran yang bermutu dan seterusnya menjadikannya dipandang tinggi dan dipercayai.

BIBLIOGRAFI
Mohd Shukri Hanapi. (2013). Pola tasawur pembangunan dalam al-Qur’an: Kajian tafsir tematik. Workshop antarabangsa pembangunan berteraskan Islam Ke-6.

Mohd Shukri Hanapi. (2014). Tasawur Islam dan pembangunan). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam, KL: Zebra Editions dan Pulau Pinang: Projek pengurusan pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia (USM).