Wednesday 25 May 2016

Tiga Aspek Penting yang Perlu Dititikberatkan oleh Seseorang Pekerja bagi Mencapai Mardhatillah (Keredhaan Allah)

Tiga Aspek Penting yang Perlu Dititikberatkan oleh Seseorang Pekerja bagi Mencapai Mardhatillah (Keredhaan Allah)

Mardhatillah bermaksud mendapat keredhaan Allah SWT. Kesan kejayaan mendapatkan keredhaan Allah SWT sekaligus membolehkan seseorang pekerja itu berjaya mendapatkan al-falah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Oleh sebab itu, Mardhatillah hendaklah dijadikan matlamat akhir dalam mencari rezeki bagi seseorang pekerja tidak kira dalam bidang apapun bidang pekerjaan yang diceburinya sama ada dalam sektor kerajaan seperti bidang pentadbiran, pengurusan, dan pendidikan, mahupun sektor swasta seperti bidang perniagaan, pengeluaran, pertanian, dan seumpamanya.

Antara aspek yang perlu dititikberatkan oleh seseorang pekerja bagi mendapatkan mardhatillah ini ialah seperti ketauhidan semata-mata hanya kepada Allah SWT, penjagaan syariat yang bersungguh-sungguh, dan penjagaan akhlak dengan Allah SWT (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Ketiga-tiga aspek ini sangat penting dalam melakukan sesebuah pekerjaan sekaligus mampu mendapatkan Mardhatillah yang dicari-cari oleh setiap insan Mukmin.

Aspek pertama iaitu ketauhidan semata-mata hanya kepada Allah SWT sangat penting bagi mendapatkan Mardhatillah. Oleh sebab itu, seseorang pekerja hendaklah melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan niat yang ikhlas atau dengan bahasa yang lebih tepat lagi sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu hendaklah diniatkan semata-mata hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Antara tanda yang boleh dirasai jika wujudnya perasaan ikhlas dalam diri seseorang pekerja itu adalah seperti hatinya tidak terkesan dengan sebarang pujian mahupun sebarang kejian daripada manusia, sebaliknya setiap sesuatu yang dilakukan berkaitan pekerjaannya diakukan semata-mata bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT. Jika sesuatu kerja yang dilakukan oleh seseorang pekerja membolehkannya mendapat pujian manusia, pujian tersebut seharusnya dikembalikan dengan mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT. Sebaliknya, seseorang pekerja itu hendaklah berusaha memperbaiki kualiti kerjanya jika sesuatu pekerjaan yang dilakukan membuatkannya mendapat kritikan oleh pihak lain (Muhammad Syukri Salleh, 2003).

Aspek kedua pula ialah aspek penjagaan syariat yang bersungguh-sunguh. Penjagaan syariat yang bersungguh-sungguh hendaklah dilaksanakan sewaktu bekerja. Hal ini bermaksud, seseorang pekerja itu hendaklah melaksanakan setiap tuntutan syariat sama ada dalam bentuk ibadah, muamalat mahupun munakahat (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Oleh sebab itu sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan selari dengan tuntutan syariat seperti menutup aurat dan melaksanakan setiap ibadah yang dituntut ke atasnya tanpa meninggalkannya disebabkan oleh sesuatu pekerjaan itu. Selain itu, pekerjaan tersebut hendaklah bebas daripada perkara yang bertentangan dengan muamalat dan munakahat dalam Islam iaitu seperti melibatkan riba mahupun rasuah.

Aspek yang ketiga yang perlu dititikberatkakan oleh seseorang pekerja ialah aspek akhlak dengan Allah SWT. Aspek akhlak dengan Allah SWT ini hendaklah dijaga dengan bersungguh-sungguh. Hal ini bermaksud setiap pekerja itu hendaklah membuang setiap sifat mazmumah atau sifat buruk yang ada dalam dirinya. (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Antara sifat mazmumah yang perlu dibuang sewaktu melakukan sesuatu pekerjaan adalah seperti sifat malas, sombong, pentingkan diri sendiri, ujub, dan seumpamanya. Kejayaan membuang sifat-sifat mazmumah ini sekaligus akan menjadikan kita berakhlak kepada Allah SWT dan mampu mencapai Mardhatillah.

Ketiga-tiga aspek ini iaitu ketauhidan semata-mata hanya kepada Allah SWT, penjagaan syariat yang bersungguh-sungguh, dan penjagaan akhlak dengan Allah SWT merupakan tiga aspek yang sangat penting yang perlu dititikberatkan oleh seseorang pekerja bagi mencapai Mardhatillah. Sesungguhnya, dengan menitikberatkan pelaksanaan ketiga-tiga aspek ini usaha yang dilakukan oleh seseorang pekerja itu tidak akan dipandang sia-sia oleh Allah SWT sebaliknya, pekerja tersebut akan mendapat Mardhatillah dengan syarat semua pekerjaan yang dilaksanakan itu dilakukan dengan ikhlas semata-mata hanya kerana Allah SWT. Kesan kejayaan mendapatkan Mardhatillah ini sekaligus membolehkan seseorang pekerja itu berjaya mendapatkan al-falah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Oleh sebab itu Mardhatillah ini hendaklah dijadikan sebagai matlamat akhir dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan bukannya gaji mahupun sanjungan semata-mata.

Bibliografi

Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam, KL: Zebra Editions dan Pulau Pinang: Projek pengurusan pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia (USM).