Monday 18 April 2016

Sumber Alam Sebagai Peralatan Pembangunan di Sesebuah Syarikat Pengeluaran Produk.

Sumber Alam Sebagai Peralatan Pembangunan di Sesebuah Syarikat Pengeluaran Produk.

Sumber alam sebagai peralatan pembangunan merupakan prinsip pembangunan berteraskan Islam (PBI) yang kelima yang diperkenalkan oleh Muhammad Syukri Salleh. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), sumber alam sebagai peralatan pembangunan bermaksud sumber yang meliputi sumber dari langit, bumi, laut dan cakerawala ini boleh digunakan sebagai peralatan dalam melaksanakan pembangunan umat Islam. Namun begitu, wujudnya perbezaan pandangan antara Barat dengan pandangan Islam berkaitan sumber alam. Hal ini demikian kerana, masyarakat Barat memandang sumber alam sebagai terhad sebaliknya Islam memandang sumber alam sebagai tidak terhad.

Pandangan Islam ini adalah dari aspek kualiti yang berkaitan dengan konsep keberkatan sesuatu rezeki dan bukannya dari segi kuantiti. Sesuatu sumber itu jika terdapat berkat padanya akan terasa cukup untuk digunakan oleh seseorang itu walaupun pada kuantitinya ia adalah sedikit sebaliknya pula terjadi jika sesuatu rezeki itu tidak berkat.

Sumber alam semulajadi boleh digunakan manusia untuk membangunkan alam ini asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam kerana tujuan diciptakan sumber alam semulajadi di dunia ini adalah untuk dijadikan peralatan manusia bagi melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Selain itu, sumber-sumber alam ini sebenarnya banyak digunakan di syarikat-syarikat pengeluaran. Antaranya adalah seperti syarikat kayu-kayan, syarikat minyak, syarikat pengeluaran makanan-makanan ringan seperti syarikat keropok, syarikat kerepek dan pelbagai jenis syarikat lagi termasuklah syarikat yang berasaskan industri kecil dan sederhana (iks). Kesemua syarikat ini sebenarnya menghasilkan produknya melalui sumber alam semulajadi yang diciptakan Allah SWT untuk kegunaan hamba-hambanya.

Pandangan Barat dengan pandangan Islam adalah amat berbeza sama sekali. Barat mengangap sumber alam itu terhad dan jika tidak digunakan secara sistematik sumber-sumber ini akan habis. Sebaliknya pula, agama Islam memandang sumber alam sebagai tidak terhad. Hal ini adalah kerana adanya konsep tauhid, pengagihan dan konsep rezeki dalam Islam.  Rezeki sebenarnya telah ditetapkan sebelum kita lahir ke dunia lagi. Antara firman-Nya berkaitan rezeki adalah seperti dalam surah Saba’ yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya”.

                                                                                             (Surah Saba’, 34:39)

Ayat dia atas membuktikan bahawa Allah SWT yang berkuasa mengatur rezeki seseorang. Oleh sebab itu, pengekskploitasian sesuatu sumber alam tidak akan menjamin bertambahnya rezeki seseorang. Dewasa ini dapat kita lihat kebanyakan individu mahupun syarikat berebut-rebut untuk mengeksploitasi sumber alam dengan sebanyak mungkin tanpa mengambil kira kesan yang mungkin timbul jika ia tidak diuruskan dengan cara yang sepatutnya. 

Penggunaan sumber pokok dan kayu-kayan yang melampau seperti melalui aktiviti pembalakan bukan sahaja merosakkan alam ini malah boleh mendatangkan banjir besar akibat kekurangan tempat tadahan hujan. Hal ini dapat kita lihat dengan jelas di kawasan-kawasan tertentu di negara kita yang telah mengalami banjir kilat dan banjir lumpur akibat kekurangan kawasan tadahan hujan kerana pembalakan besar-besaran. Oleh sebab itu, kesemua sumber alam ini hendaklah diuruskan dengan baik dan dijadikan peralatan pembangunan tauhid umat Islam. Oleh sebab itu seseorang manusia dan sesebuah syarikat itu tidak sepatutnya mengeksploitasi sumber alam ini sebaliknya menjadikan sumber alam ini sebagai peralatan pembangunan kerana Allah SWT berjanji akan memberikan rezeki kepada hambanya yang bertakwa dan bukannya yang berebut akan sumber-sumber ini.

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya".

                                                                                       (Surah at-Talaq 65: 2-3)



Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad. (2016). Kuliah pengajian SYW501 pengurusan Institusi pembanguna Islam.

Mohd Shukri Hanapi. (2016). Kuliah pengajian SXW501 Pembangunan Berteraskan Islam.

Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam, KL: Zebra Editions dan Pulau Pinang: Projek pengurusan pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia (USM).

Nursyirah. (2011). Yakinilah janji Allah bahawa setiap manusia telah ada rezeki untuknya. Diakses dari https://nursyirah.wordpress.com/2011/04/23/yakinilah janji Allah bahawa setiap manusia telah ada rezeki untuknya pada 18 April 2016.