Tiga Aspek Penting yang Perlu
Dititikberatkan oleh Seseorang Pekerja bagi Mencapai Mardhatillah (Keredhaan Allah)
Mardhatillah
bermaksud mendapat keredhaan Allah SWT. Kesan kejayaan mendapatkan keredhaan
Allah SWT sekaligus membolehkan seseorang pekerja itu berjaya mendapatkan al-falah iaitu kejayaan di dunia dan
akhirat (Muhammad Syukri
Salleh, 2003). Oleh sebab itu, Mardhatillah hendaklah dijadikan
matlamat akhir dalam mencari rezeki bagi seseorang pekerja tidak kira dalam
bidang apapun bidang pekerjaan yang diceburinya sama ada dalam sektor kerajaan
seperti bidang pentadbiran, pengurusan, dan pendidikan, mahupun sektor swasta
seperti bidang perniagaan, pengeluaran, pertanian, dan seumpamanya.
Antara
aspek yang perlu dititikberatkan oleh seseorang pekerja bagi mendapatkan
mardhatillah ini ialah seperti ketauhidan semata-mata hanya kepada Allah SWT,
penjagaan syariat yang bersungguh-sungguh, dan penjagaan akhlak dengan Allah
SWT (Muhammad Syukri
Salleh, 2003). Ketiga-tiga aspek ini
sangat penting dalam melakukan sesebuah pekerjaan sekaligus mampu mendapatkan Mardhatillah yang dicari-cari oleh
setiap insan Mukmin.
Aspek
pertama iaitu ketauhidan semata-mata hanya kepada Allah SWT sangat penting bagi
mendapatkan Mardhatillah. Oleh sebab
itu, seseorang pekerja hendaklah melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan niat
yang ikhlas atau dengan bahasa yang lebih tepat lagi sesuatu pekerjaan yang
dilakukan itu hendaklah diniatkan semata-mata hanya untuk mendapatkan keredhaan
Allah SWT.
Antara
tanda yang boleh dirasai jika wujudnya perasaan ikhlas dalam diri seseorang
pekerja itu adalah seperti hatinya tidak terkesan dengan sebarang pujian
mahupun sebarang kejian daripada manusia, sebaliknya setiap sesuatu yang
dilakukan berkaitan pekerjaannya diakukan semata-mata bagi mendapatkan
keredhaan Allah SWT. Jika sesuatu kerja yang dilakukan oleh seseorang pekerja
membolehkannya mendapat pujian manusia, pujian tersebut seharusnya dikembalikan
dengan mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT. Sebaliknya, seseorang pekerja
itu hendaklah berusaha memperbaiki kualiti kerjanya jika sesuatu pekerjaan yang
dilakukan membuatkannya mendapat kritikan oleh pihak lain (Muhammad Syukri Salleh, 2003).
Aspek
kedua pula ialah aspek penjagaan syariat yang bersungguh-sunguh. Penjagaan syariat
yang bersungguh-sungguh hendaklah dilaksanakan sewaktu bekerja. Hal ini bermaksud,
seseorang pekerja itu hendaklah melaksanakan setiap tuntutan syariat sama ada
dalam bentuk ibadah, muamalat mahupun
munakahat (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Oleh
sebab itu sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan selari dengan tuntutan
syariat seperti menutup aurat dan
melaksanakan setiap ibadah yang dituntut ke atasnya tanpa meninggalkannya
disebabkan oleh sesuatu pekerjaan itu. Selain itu, pekerjaan tersebut hendaklah
bebas daripada perkara yang bertentangan dengan muamalat dan munakahat dalam
Islam iaitu seperti melibatkan riba mahupun rasuah.
Aspek
yang ketiga yang perlu dititikberatkakan oleh seseorang pekerja ialah aspek
akhlak dengan Allah SWT. Aspek akhlak dengan Allah SWT ini hendaklah dijaga
dengan bersungguh-sungguh. Hal ini bermaksud setiap pekerja itu hendaklah
membuang setiap sifat mazmumah atau
sifat buruk yang ada dalam dirinya. (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Antara
sifat mazmumah yang perlu dibuang
sewaktu melakukan sesuatu pekerjaan adalah seperti sifat malas, sombong,
pentingkan diri sendiri, ujub, dan seumpamanya. Kejayaan membuang sifat-sifat
mazmumah ini sekaligus akan menjadikan kita berakhlak kepada Allah SWT dan
mampu mencapai Mardhatillah.
Ketiga-tiga
aspek ini iaitu ketauhidan semata-mata hanya kepada Allah SWT, penjagaan
syariat yang bersungguh-sungguh, dan penjagaan akhlak dengan Allah SWT
merupakan tiga aspek yang sangat penting yang perlu dititikberatkan oleh
seseorang pekerja bagi mencapai Mardhatillah.
Sesungguhnya, dengan menitikberatkan pelaksanaan ketiga-tiga aspek ini usaha
yang dilakukan oleh seseorang pekerja itu tidak akan dipandang sia-sia oleh
Allah SWT sebaliknya, pekerja tersebut akan mendapat Mardhatillah dengan syarat semua pekerjaan yang dilaksanakan itu
dilakukan dengan ikhlas semata-mata hanya kerana Allah SWT. Kesan kejayaan mendapatkan
Mardhatillah ini sekaligus membolehkan
seseorang pekerja itu berjaya mendapatkan al-falah
iaitu kejayaan di dunia dan akhirat (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Oleh
sebab itu Mardhatillah ini hendaklah
dijadikan sebagai matlamat akhir dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan bukannya
gaji mahupun sanjungan semata-mata.
Bibliografi
Muhammad Syukri
Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan
berteraskan Islam, KL: Zebra Editions dan Pulau Pinang: Projek pengurusan
pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia (USM).
No comments:
Post a Comment